Monday, May 21, 2018

B1E8: Sumber Resipi

Aku suka mencuba resipi daripada pelbagai sumber. Tak semestinya dari internet saja atau resipi yang tular.

Aku suka cuba resipi daripada buku masakan dan majalah. Kalau dulu, mungkin resipi dalam bahan bercetak ni ada yang kurang sedap, tak menjadi atau salah bagi sukatan tapi sekarang aku rasa majalah masakan antara sumber rujukan terpenting bagi aku.

Buku masakan, rujukan paling utama. Dalam koleksi aku, yang paling disayangi buku 365 Resipi, 1 Hari 1 Resipi oleh Chef Hanieliza. Buku ni terbitan PTS dan kemudiannya dijual secara eksklusif oleh Popular Bookstore. Aku beli pun masa tu ada diskaun. Memang terbaiklah. Buku rujukan pertama untuk masakan seharian tatkala tak tahu nak masak apa.

Buku kedua terpenting di rumah, 400 Resipi Terbaik Chef Wan. Terbitan Seashore. Selalunya rujuk bila nak masak untuk jamu orang atau yang istimewa sikit. Resipi tradisional Chef Wan memang sedap dan menjadi belaka. Dia banyak guna rempah ratus dan bahan-bahan dia banyak juga. Tak sesuai kalau nak cepat dan tak cukup bahan kat dapur! Buku ni suami belikan rasanya. Dah lama dah.

Lagi sumber resipi aku, buku-buku masak oleh Chef Fendi, Khairul Hakimin, Suwarsi Arukin dan lain-lain. Kalau tak aku beli, suami yang beli.

Majalah masakan memang banyak. Suami suka beli majalah Rasa. Kadang-kadang Saji, Sedap. Dulu-dulu aku suka majalah Mingguan Wanita sebab ada sisipan resipi. Kumpul dulu tu.

Pernah sekali masa belajar kat UPM, masa di perpustakaan aku bukan setakat pinjam buku akademik, aku siap pinjam buku resipi. Lepas tu aku fotostat resipi yang aku suka, aku simpan. Resipi Itali kebanyakannya.

Dulu-dulu juga masa bujang, aku suka salin resipi ke dalam buku log kecil. Kompilasi resipi yang aku salin daripada majalah orang, buku orang, resipi internet. Asalnya aku tumpang bermalam di rumah sepupu. Ada satu majalah tu, ada himpunan resipi pelbagai jenis laksa. Waktu tu, belum ada telefon nak ambil gambar. Jadi aku salinlah satu-satu resipi laksa tu. Ada laksa Johor, laksa Sarawak, laksam, laksa lemak, laksa Kedah, asam laksa. Sejak itulah, buku log tu berkembang dengan tambahan resipi-resipi lain.

Aku cari resipi di Google juga kalau aku dah memang teringin suatu menu tapi tak tahu cara buat. Lagi cepat dah tentunya. Biasanya akan jumpa di blog-blog masakan. Mat Gebu ke, Azlita Masam Manis, Citarasawan, Azie Kitchen dan macam-macam lagi.

Sekarang ni, cari kat Facebook dan Instagram pun banyak dah. Resipi banyak yang sedap, ringkas dan pantas. Kreatif pula tu. Kadang-kadang aku tergoda juga dengan video tutorial masak. H

Namun antara banyak-banyak tu, sumber paling agung daripada kalangan ahli keluargalah. Mak abah mentua, mak cik, pak cik, adik-beradik lain. Sumber langsung terbaik, mak abah mentua untuk resipi Jawa dan tradisi.

Dengan pelbagai sumber inilah, yang mana resipi yang menjadi aku suka kongsi di blog masak aku. Bila-bila aku nak ulang, aku boleh rujuk dengan mudah. Orang lain nak cuba pun boleh. Kadang-kadang tu aku kumpulkan supaya resipi tu tak lenyap ditelan zaman, terbang di angin lalu saja.

No comments:

Post a Comment