Monday, May 21, 2018

B3E3: Martabak Mak Cik Siti

Rumah yang kami tinggal di kampung dulu, berjiran dengan mak cik.

Mak cik Siti, kakak kepada ayah. Suaminya kami panggil Pak cik Lah. Selain selalu petik daun kari di sebelah rumah mak cik yang pokoknya merimbun itu, kami selalu juga bertukar juadah.

Antara menu yang paling saya ingat, saya fikir kebanyakan anak saudara dan adik-beradik juga, mesti martabak yang dibuat mak cik.

Pada saya martabak ni renyah nak buat. Nak makannya sekejap saja habis. Macam penat dan susah sangat. Baik beli di pasar malam saja.

Namun begitulah, hasil air tangan ni berbeza apalagi yang dibuat sendiri di rumah.

Saya tak sempat simpan resipi martabak mak cik, saya kira sepupu-sepupu saya juga tak membuatnya juga. Jadi saya kongsikan resipi martabak biasa.

B3E2: Asam Pedas Mak

Asam pedas utara digelar asam rebus di bahagian tengah atau selatan tanah air. 

Perkara ini memang menjadi kekeliruan pada saya masa mula-mula memasak kerana saya guna resipi daripada buku tapi hasilnya tak sama seperti masakan mak.

Rupanya baru tahu asam pedas dalam buku, cilinya ditumis mengikut stail selatan sedangkan kalau mahu sediakan asam pedas versi yang kami biasa makan, hanya perlu rebus sahaja.

Pernah sekali saya masakkan untuk ayah, mengikut resipi buku. Dah pastilah tak menjadi asam pedas mak sebab resipinya mengikut asam pedas melaka!

Lepas berkahwin barulah saya tahu ada beza menu bernama asam pedas ini.

B3E1: Gulai Ikan dan Sambal Belacan Cik Pah

Masa balik kampung lepas raya tahun lepas, tumpang tidur di rumah bapa saudara yang kami gelar Cik Ey dan isterinya Cik Pah. Cik Ey atau nama sebenarnya Ismail ialah sepupu sebelah arwah emak. 

Menetap di kampung Lahar Kepar, kampung kelahiran emak, memang damai dan tenang sekali apabila rumah dikelilingi bendang, yang orang bandar panggil sawah padi.

Cik Pah boleh saya katakan seorang usahawan makanan. Setiap pagi Cik Pah akan siapkan nasi lemak bungkus untuk dihantar ke kedai makan. Untungnya kedai makan itu pun kepunyaan seorang lagi bapa saudara saya, iaitu abang kepada Cik Ey yang kami gelar Pak Njang An. 

Selain nasi lemak, Cik Pah juga ada bekalkan kuih-muih untuk gerai pada sebelah petang. Jadi hal masak memasak ni memang biasa sangat bagi Cik Pah.

Bila kami anak-anak saudara sepupu ni balik ke kampung, lagi meriah dan kalut Cik Pah masak. Macam-macam kami dijamu. Tapi yang pasti ada, laksa dan gulai ikan lengkap dengan sambal belacan.

Walau sejauh mana kita pergi, tetap yang di tempat asal kita juga yang terbaik. Cik Pah kongsi resipi, melihatkan resipinya sama saja dengan resipi yang saya lihat di majalah atau buku masakan namun begitulah, air tangan setiap orang memang berbeza.

Di sana, makan pasti bertambah. Apatah lagi diraikan dengan menu kegemaran. 

Ini resipi gulai ikan yang Cik Pah kongsikan. Citarasa orang utara.

Gulai Ikan Cik Pah resipi

B2E10: Sup Daging Bang Non

Di kampung ada satu kedai makan yang kami suka singgah. Sebenarnya kedai tu biasa saja cuma ada secebis kenangan dengan ayah yang menjadikan kedai makan tu tempat mengimbau memori.

Tuan kedai makan itu kami panggil Bang Non. Ayah aku panggil Non Ketot sebab orangnya rendah. Kedai tu boleh dikatakan tempat ayah makan tengah hari dan tempat melepak sembang-sembang. Lagipun harganya tak mahal sangat.

Menu yang wajib makan, sup daging. Aku memang suka sangat sup daging Bang Non. Dagingnya cukup lembut, empuk, kuah supnya sedap benar dihirup suam-suam. Memang seperiuk besar disediakan sup daging setiap hari.

Lauk pauk lain, kebanyakannya bercitarasa kampung. Ada lauk yang kau jarang nampak atau tak ada di kedai makan lain. Ada masanya lauk ringkas saja macam sup pelbagai bebola. 

Ikan kering atau ikan masin yang kadang-kadang tak kutahu ikan apa tapi sedap. Ada juga ikan tamban kecil goreng garing.

Antara lain, gulai ikan, cendawan masak lemak, sambal belacan dengan buah bacang atau kuini, ulam-ulaman. Ikan sembilang goreng. Pajeri nenas atau terung.

Apapun yang pasti, setiap kali singgah makan mesti akan ambil sup daging, sama ada semangkuk sup dengan isi daging atau sekadar sup kosong.  

Air, biasanya teh ais atau limau ais. 

Bila nak bayar, Bang Non selalu genapkan jumlah. RM5 ke RM10 ke dan seterusnya. Tapi itu bila kami nak bayar. Orang lain tak pasti pula.

B2E9: Nasi Merah dengan Limpa dan Hati Lembu Masak Hitam

Satu menu wajib kami bila ke pasar malam Kepala Batas masa dulu ialah nasi merah dengan lauk limpa atau hati lembu masak hitam.

Entahlah apa jampinya, nasi merah tu memang sedap dan lauk limpa dan hati tu uniknya rasa sampai teringat-ingat. Abang yang menjual itu pun dah tahu dah apa yang kami akan beli, sebab hampir setiap minggu dengan pilihan lauk yang sama. Jarang sangat tukar ke menu lain. Padahal ada banyak lagi menunya. 

Nasi merah semangkuk, hati atau limpa sehiris. Kuah hitam digaul dengan nasi. Aduhai kecur air liur mengenangkan nasi ni. Kadang-kadang letak juga acar timun dan carrot. Sebungkus kadangkala tak cukup, saban tahun semakin kecil saiz nasinya. Haha

Pasar malam pekan Kepala Batas setiap Sabtu, memang kami sentiasa nantikan. 

Selain nasi merah, antara menu wajib lain yang mesti dibeli ialah laksa buyung, sate Manaf, bebola ikan celup tepung, murtabak rempah, bihun sup bebola. Yong tau fu, sesekali kalau ada bajet lebih.




B2E8: Tiga Versi Sambal Tahun

Tiga versi berbeza. Namun semuanya tetap sedap dengan cara tersendiri.

Ada yang memanggilnya sambal taun, sambal ta'un atau sambal tahun. Keluarga mentua aku guna sambal tahun.

Pada aku, sambal cumi (sotong kecil kering), yang dimasak dengan cili padi yang banyak, memang sejenis sambal yang sangat membuka selera. Kemudian baru kutahu namanya sambal tahun. Dikatakan sambal ini tahan bertahun-tahun. Simbolik sahaja, bukan apa, sambal ini boleh dimakan berhari-hari dan semakin hari semakin dipanaskan, bertambah sedap.

Versi pertama, versi Wak Saiful, abah mentuaku.

Biasa abah guna sotong kering kecil yang kita biasa panggil cumi. Bahan lain seperti cili padi, abah guna agak banyak. Lagi, bawang-bawang dan lengkuas. Asam keping. Itu sahaja seingat aku, dan kalau ada masak sambal tahun di rumah, memang bertambah-tambah nasi aku makan dengan sambal itu saja.

Memang banyak cili padi, pedas ya amat tapi pedasnya di mulut dan sekejap sahaja. Makan banyak pun tidaklah sakit perut, setakat nilah, sebab abah biar mendidih lama dan cukup asam garam manisnya. 

Versi kedua, sambal tahun Bik Jah, emak saudara sebelah abah. Bik Jah adik abah yang tinggal di kampung. Kalau kami balik beraya ke kampung, mesti singgah rumah Bik Jah. Bik Jah selalu hidangkan nasi dan lauk pauk di hari raya. Dah tentu sambal tahun lauk yang paling kami nantikan.

Versi Bik Jah pedas juga macam versi abah. Tapi Bik Jah gunakan bahan utama yang lain. Setakat yang aku pernah makan, ada sambal tahun kerang, babat dan terbaharu Bik Jah buat sambal tahun ayam kampung.

Bertambah nasi kat rumah Bik Jah pun dah tak malu sebab dia tahu kami anak menantu Wak Saiful memang hantu sambal tahunnya!

Versi ketiga, yang lebih asli saya fikir, versi Sekinchan. Kampung adik ipar. Sambal tahunnya menggunakan kulit lembu dan berkuah sikit. Rasanya tidak terlalu pedas seperti versi abah dan Bik Jah. 

Pertama kali makan sewaktu majlis pertunangan adik dan adik ipar. Kemudian berpeluang makan lagi semasa majlis kenduri mereka. Istimewanya, emak saudara adik ipar mengusahakan industri kulit lembu. Dan turut menerima tempahan sambal tahun untuk sebarang majlis.

Menurut versi asal, sambal tahun menggunakan santan. Namun abah jarang masukkan santan untuk sambal tahan lebih lama.

B2E7: Pecal Raya Cara Jawa

Memang akan ingat sampai bila-bila kenangan yang ini. Dan di setiap kali itu jugalah akan terimbau kembali memori tahun 2012.

Rewinddddd!

Tahun pertama raya sebagai seorang isteri kepada anak orang Jawa. Agak culture shock juga pada aku. Kalau sebelum kahwin aku beraya di Kepala Batas, Pulau Pinang, setiap pagi raya mesti ada ketupat palas dan rendang. Pergi ziarah rumah saudara mara pun lebih kurang menu sama, cuma mungkin ada rumah yang hidangkan nasi impit dan kuah kacang serta serondeng, dan makanan berat lain.

Kalau ke rumah Tun Abdullah Badawi, biasanya dijamu dengan nasi tomato dengan ayam masak merah, daging masak hitam. 

Bila beraya di kampung suami di Hutan Melintang, Perak, terkejut aku.

Pergi semua rumah pun, menu utama ialah pecal. Hampir semua rumah menjamu menu yang sama. Bezanya pada bahan yang diguna sahaja. 

Ada yang guna bahan asas sahaja seperti timun, sengkuang dan tauge. Ada yang hidangkan dengan pucuk ubi celur, kacang panjang, nasi impit sekali.

Pelbagai versi, pelbagai rasa kuah pecal yang kebanyakannya dibuat sendiri. 

Kesimpulannya baguslah kan? Kalau tidak hari raya kita biasanya penuh dengan makanan berkalori tinggi. Raya cara Jawa, makan sayur-sayuran. Aku suka juga cuma rindu pada ketupat palas tu tak tertahan juga. Sudahlah waktu tu aku mengandung 6 bulan.

Namun beraya di rumah mentua, kalau tak balik kampung, tak ada pun pecal. Setakat aku jadi sebahagian daripada keluarga mentua ni, tak pernah pula pecal menjadi menu utama. Tapi kuah kacang pecal memang ada standby sentiasa. Hanya tinggal dibancuh dengan air panas. 

Biasa kami potong timun dan sengkuang, celur bihun dan makan bersama kuah pecal.