Saturday, May 19, 2018

B1E1: Masak di Rumah Bakal Mentua, Biar Betul?

"Nanti awaklah masak kat rumah mak."
"Ha? Nak masak apa?"
"Apa-apa je. Kejap lagi kita singgah Mydin beli barang."

Bakal suami ketika itu berkata. Di mulut aku mengiyakan. Dalam hati, sungguh-sungguh aku berharap ini adalah prank.

Aku takkan terpedaya. Mesti dia saja nak buat aku saspen. Memang singgah beli barang. Tapi dah sampai rumah emaknya nanti, dah tentulah emaknya yang masak.

Takkan tak semena-mena tetamu yang kena masak?

Ish. Mustahil ni. Tak mungkin dia nak aniaya aku sampai macam ni sekali.

Aku bukannya pandai masak sangat. Lagi-lagi nak jamu ramai orang. Katanya di rumah ada mak, dan semua adik-adik. Aku ni kalau masak untuk aku makan sendiri bolehlah. Dalam hati aku dok bisik, wahai tuan tunangku (ketika itu), sila jangan buat lawak!

Sepanjang perjalanan aku tak kisah lah sangat perihal kena masak kat rumah mak tu, sampai dah siap beli barang pun, aku memang positif je yang dia bergurau.

Kami beli ayam, buncis, udang. Cadangan menunya ayam masak kicap, buncis goreng dan sambal udang.

Sesampainya di rumah mak. Duduk kejap borak-borak lepas tu dengan yakinnya tuan tunang kata, "Hari ni biar Zaila masak."

Nak tercabut jantung aku masa tu. Serius?

Ini memang mengundang perang, aku dok bercakap dalam hati. Memang ini saja nak memalukan aku ke macamana.

Dalam hati, geram sesungguh-sungguhnya. Tapi dalam masa yang sama salahkan diri sendiri juga sebab buat-buat tak percaya sedangkan dia dah beritahu dalam kereta tadi. Memang kena balik ke batang hidung akulah kalau aku salahkan dia. Kau tengok bijak tak bijak bakal suami aku tu.

Maknya kata, susah-susah je datang sini tiba-tiba kena masak pula. Oh takpe makcik, boleh je, aku balas. Dalam hati, punya geram rasa nak tumbuk saja perut anak bertuah mak mentua tu. Huh!

Aku masuk dapur. Masa tu keluarga mentua tinggal di kuarters kerajaan, abah mentua berkhidmat sebagai pegawai bomba. Aku mula perhati bahan-bahan yang dibeli tadi, satu per satu.

Betapa kekok nak memasak di dapur asing. Lagi kau nak masak untuk mak mentua kau! Eh gila aku macam ni lah. Aduhai.

Rancangnya ayam masak kicap, entah apa yang aku buat, entahlah. Tumis bawang-masuk air-masuk kicap-masuk sos tiram-entah apa lagi buat aku dah tak boleh fikir dengan lurus dan waras lagi dah. Lepas tu masukkan ayam. Dah macam ayam kuah hitam rupanya. Ah, bolehlah ni kot.

Sayur buncis aku hiris serong-serong. Lobak merah aku potong panjang tapi tak cantik sungguh bentuknya sampai masa makan mak tegur, dia sangkakan adik yang tolong potong hodoh begitu. Padahal aku yang buat semua tanpa minta bantuan sesiapa. Segan. Sebetulnya, pisau yang aku guna tu kurang tajam. Itu yang senget benget rupa lobak merah tu. Dan betapa bendul dan paniknya aku tak reti nak asah pisau atau tukar pisau lain. Kahkahkah

Hidangan seterusnya sambal udang. Ini pun nak kata okey, tidak juga. Terlebih air asam jawa. Dan mak tak makan udang. Jadi komen datang daripada anak lelaki bertuah mak itulah. Masam sikit, komennya.

Begitulah pengalaman paling lawak, paling diingati, dalam masa yang sama ada manisnya juga.

Memang geram juga dibuatnya tapi keyakinan tuan tunang waktu itu boleh tahan juga. Yakin benar bakal isteri pandai masak ya. Sekali terimalah! Hahaha

Perkara itu pun dah berlalu hampir 8 tahun dulu. Zaman bertunang. Waktu itu menziarah keluarga bakal mentua dan berbincang hal majlis. Tapi rupanya ada kejutan pula.

Apapun, terima kasih wahai suamiku, disebabkan peristiwa itu aku belajar masak ayam masak kicap dan sambal udang dengan betul. Haha.




No comments:

Post a Comment