Monday, May 21, 2018

B1E5: Menu Zaman Bujang

Dari zaman sebelum kahwin lagi aku memang suka masak. Selain asah skil memasak, aku juga masak untuk jimatkan kos makanan. Paling kerap aku masak semasa tahun akhir aku bergelar bujang, tahun 2011. Memang selalu bawa bekal ke pejabat juga.

Aku masak menu mudah dan ringkas sahaja, guna pun bahan-bahan yang mudah dan murah. Tak adanya menu beria-ria.

Seingat aku masa bulan puasa tahun tersebut, aku sangat menjaga pemakanan sebab aku dalam proses menguruskan badan. Aku kurus dengan mengawal kalori yang aku ambil setiap hari. Jadi, menu aku waktu itu berkuantiti kecil dan kebanyakannya sup.

Waktu itulah aku belajar daripada kakak serumah yang untuk sedapkan sup sayur, masukkan rempah empat sekawan. Selama ni aku tahu masukkan rempah itu apabila masak sup ayam dan daging. Apabila dah cuba masukkan dalam sup sayur atau sup kosong, rasanya lebih sedap dan beraroma.

Paling biasa aku buat sup tauhu, sup fucuk (tauhu kering), sup sayur macam-macam. Kuantiti nasi memang aku kawal.

Kalau hujung minggu kami satu rumah tak ke mana-mana, masak saja di rumah. Menu yang biasa Kak Midi, kakak bilik sebelah masak, sambal sardin, telur dadar dan kubis goreng kunyit. Kak Sali, kakak serumah yang seorang lagi kadang-kadang masak lauk hebat sikit. Aku kategorikan sebagai hebat sebab menu tu aku tak pandai. Adalah sesekali menu daging ke ikan singgang, menu Kelantan.

Pernah sekali Kak Midi masakkan dendeng daging. Memang seronoklah dapat makan.

Lorong rumah sewa kami aktif buat jamuan potluck. Jadi kami pun sediakan sikit apa-apa juadah. Aku pernah buat roti jala, Kak Midi buatkan kari ayam. Lenguh pinggang aku 'menjala'. Tapi puas hati dapat siapkan juadah untuk sama-sama nikmati dengan jiran.

Rumah sewa bujang aku yang terakhir itu sahaja yang aku rajin dan selalu masak. Selain dapur yang selesa, satu lagi faktor kakak serumah semua memahami. Bahan-bahan masak sama dikongsi. Berbanding rumah-rumah sebelum itu, masalah dapur kurang selesa, peralatan pun tak cukup, rakan serumah yang ambil kesempatan. Jadilah aku bujang yang beli makanan luar saja.


Ingat lagi, kalau beli ayam, biasa beli setengah ekor saja. Sayur suka beli macam-macam jenis. Bendi, sawi, kangkung, bayam antaranya. Tempe dan tauhu memang selalu buat sumber protein gantikan protein haiwan yang sedikit mahal. Telur pun antara menu wajib. Perasa yang saya paling gemar, lada sulah. Masak apa pun mesti dimasukkan sedikit, rasa lebih sedap.

Rindu juga zaman bujang yang makan ringkas sahaja, maklumlah hanya perlu fikir kehendak perut dan selera sendiri sahaja. Namun memadai untuk melangkah ke alam perkahwinan, apabila asas dan kebiasaan memasak sudah ada, alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment