Saturday, May 19, 2018

B1E3: Tempahan Nasi Arab

Pernah sekali, suami dapat tempahan daripada pejabatnya untuk masak nasi arab.

Perlu sediakan untuk 50 orang, dan tukang masaknya hanyalah kami berdua suami isteri.

Susah kah?

Tidak juga sebab kami guna pek nasi arab segera, yang sudah terbukti keenakan dan kelazatannya. Lagipun memang dah biasa masak di rumah, jadi dah familiar dengan bahan dan cara masaknya.

Aku dulu memang menjual pek nasi arab segera ni. Jadi waktu tu, berkotak-kotak juga kami gunakan. Mujur ada stok.

Pinjam periuk nasi elektrik besar dengan periuk belanga daripada abah dan emak. Memang abah emak biasa masak untuk ramai orang. Jadi suami pinjam dan bawa balik ke rumah.

Pengalaman pertama kami masak untuk sejumlah orang yang besar. Mujur suami dah biasa dengan masak banyak begini. Aktiviti masak memasak di pejabatnya selalu pun dia ketua tukang masaknya. Cuma bezanya kali ini, kami masak bersama.

Kami agak teruja menyiapkan tempahan. Sebenarnya, untuk jangka masa panjang, kami menyimpan hasrat menyediakan perkhidmatan katering. Jadi kami ambil peluang ini untuk kutip pengalaman dan belajar.

Aktiviti memasak dimulakan dengan memasak nasinya dahulu. Berdebar juga ni mahu masak dalam periuk besar sebab tak biasa. Mujurlah periuk nasinya jenis elektrik. Boleh tekan suis dan biar nasi masak saja. Cuma untuk nasi arab ni, perlu tumis bahan-bahan rempah kering dahulu. Kemudian dimasukkan pes perencah. Oh, beras basmati yang tersedia dalam kotak kami rendam dan tos dahulu sebelum masak supaya nasi nanti jadi lebih lembut.

Nasi arab ini digandingkan dengan ayam panggang. Waktu itu oven pun kami tiada. Pinjam emak punya. Entah berapa pusingan memanggang ayam. Seawal memasak nasi, ayam juga turut dipanggang untuk elak tak cukup masa.

Penyediaan salad arab (salatah) dan sosnya telah disiapkan lebih awal lagi dan disimpan di dalam peti sejuk.

Alhamdulillah semua proses masak berjalan lancar dan siap tepat pada waktunya. Suami kata rakan-rakan sepejabatnya komen sedap. Seronok, hilang penat memasak.

Selepas itu kami tak ada dah masak besar begitu. Namun harapan untuk mula bisnes katering tetap ada. Insya-Allah suatu masa nanti.

No comments:

Post a Comment