Monday, May 21, 2018

B1E6: Masak pada 6 Bulan Pertama Kahwin

Selepas bernikah, sudah ada suami, rasa teruja nak memasak dan nak menjamunya makan memang berkobar-kobar.

Tambahan pula suami aku ni seorang yang suka memasak dan pandai memasak pula, memang berganda keterujaan aku nak berkongsi 'kepakaran' dan kemahiran memasak.

Sebelum kahwin pun memang aku sudah ada koleksi resipi dan buku masakan, selepas kahwin, suami menyokong juga dengan membeli majalah masakan. Memang seronok mencuba resipi baharu, bertambah seronok nak memenuhi selera suami.

Pernah kami memborong sakan di BookXCess, Amcorp Mall, Petaling Jaya - membeli buku-buku masak. Resipi Itali, resipi sihat, citarasa Asia, menu antarabangsa dan lain-lain lagi. Memang penuh juga koleksi rujukan masakan di rumah kami. Maklumlah sama-sama minat masak.

Di bulan-bulan awal perkahwinan, memang aku rajin masak. Masak dalam kuantiti yang banyak pula tu. Apa lagi, kami berdua memang bagai dipam-pam badan ni. Berat aku naik mendadak, berat suami pun sama.

Sebabnya, kami selalu makan malam lewat dan bertambah-tambah pula. Waktu itu, suami sering balik kerja lambat, dan aku sebagai isteri mithali memang akan menunggunya pulang untuk makan malam sama-sama. Dan selepas sejam, masuk tidur.

Baru-baru kahwin, begitulah. Sedap sungguh rasanya walaupun pada hakikatnya taklah sesedap mana.

Pernah sekali aku masak nasi ayam. Ayam sampai 5-6 ketul besar, makan sampai 2-3 kali tambah. Waktu tu dah 10 malam. Aduhai. Waktu tu, makan tanpa rasa bersalah langsung, janji puas hati dapat masak untuk suami, dapat tunjuk skil, makan tanpa had janji kenyang.

Lagi pula, bila aku masak memang terlebih-lebih padahal yang makan hanya berdua, tetapi aku siapkan makan seolah-olah untuk 4-5 orang. Tak dihabiskan, sayang. Maka membesarlah perut kami berdua bagai johan.

Empat bulan selepas berkahwin, saya mengandung. Semasa buat pemeriksaan kesihatan, saya didiagnos darah tinggi dan kencing manis. Sedih juga, tetapi selepas buat sedikit pembacaan dan kajian, rupanya faktor berat badan naik mendadak sebelum mengandung antara faktor penyebab. Aku memang berisi waktu mengandung anak pertama.

Itulah, beria sangat melayan selera. Merana jugalah badan. Pengajaran buat aku supaya kawal sikit keterujaan memasak berlebihan, dan patutnya contohi PM ketujuh kita, jangan terlebih makan, memang mengundang penyakit.

No comments:

Post a Comment