Saturday, May 19, 2018

B1E2: Perencah Nasi Goreng Adabi Dalam Ingatan

Aku kehilangan mak semasa berumur 12 tahun. Jadi sejak itu, aku perlu memasak sendiri kalau nak makan apa-apa di rumah. Tapi aku masak yang mudah saja. Selalu ayah akan masak atau beli saja di luar.

Daripada Tingkatan 1 ke Tingkatan 2, aku bersekolah sesi petang. Jadi, sebelum ke sekolah, atau sebagai sarapan, aku biasa buat nasi goreng saja sebab senang.

Pes perencah nasi goreng Adabi memang sentiasa ada stok di rumah. Bahan-bahan basah seperti sayur kadang-kadang aku singgah beli di kedai runcit Paksu Musa.

Nasi goreng versi aku yang berusia 13 tahun ketika itu, nasi sejuk aku gembur-gemburkan. Panaskan minyak dan tumiskan pes perencah. Banyak kali juga pes hangit, sebab aku guna api besar. Ada ketika aku tak perasan yang lama sangat aku tumis sedangkan pes itu hanya perlu ditumis sekejap saja.

Kemudian aku masukkan batang sawi dan goreng sebentar. Kemudian masukkan nasi sejuk dan gaul rata dengan perencah. Lepas tu baru dimasukkan daun sawi.

Aku buat lubang di tengah kuali, masukkan minyak sedikit dan pecahkan telur ke dalam lubang tadi lalu dikacau-kacau.

Bila telur agak masak dan mengental, aku gaulkan dengan nasi hingga rata ke seluruhannya.

Siap nasi goreng versi Junior Masterchef. Hampir setiap hari juga aku makan menu yang sama. Sebab menu itu yang aku yakin buat, dan yang itu aku suka makan.

Kini, pelbagai jenis nasi goreng aku buat. Dan nasi goreng kekal menjadi antara menu kegemaran aku. Cuma dah lama tak guna pes perencah Adabi.

Aku senang tumis bawang putih dan bawang merah dengan Planta, pecahkan telur dan masukkan nasi sejuk. Kalau rajin, tambah ikan bilis goreng rangup. Kalau di rumah mak mentua, tumis sambal belacan atau masukkan serbuk udang kering.

Begitulah. Nasi goreng, daripada dulu hingga sekarang tetap jadi pujaan.

No comments:

Post a Comment