Monday, May 21, 2018

B1E4: Sedap dan Hangit

Biasalah adat memasak, ada harinya menjadi dan sedap sangat. Namun ada harinya serba tak menjadi. Terlebih masam, terkurang masin, terlalu pedas, yang digoreng hangit, yang dibakar terlalu kering lalu keras.

Bila aku tengok lauk yang dihidang tu tak luak, aku fahamlah tu. Adalah yang tak kena dengan lauknya. Kadang-kadang suami komen terus, ada ketika setelah beberapa purnama baru dia suarakan. Bukan apa, kadang aku ni sentap juga bila dia komen masakan, tapi itulah kalau orang tak komen manalah kita tahu selama ni sedap ke tidak. Kena seleranya ke tidak.

Setakat ini, menu paling epik teruknya yang aku ingat sampai sekarang adalah ayam goreng terlebih masin. 

Suami sampai tak boleh makan. Dia memang pantang kalau makanan terlebih garam. Dia sentuh sikit terus ditinggalkan sebab terlalu masin. Aku pun tak ingat macamana ayam goreng aku boleh jadi masin sangat. Dan sejak itu setiap kali aku kata hari ni nak goreng ayam, mesti dia pesan hati-hati dengan jumlah garam. 

Tapi sejak aku guna garam bukit ni, rasa masinnya taklah begitu ketara. Dan selalu guna kuantiti sikit saja pun dah terasa masinnya.

Antara menu lain yang kurang mendapat sambutan, paprik sotong. 

Tak menjadi, entah apa rasanya. Nak kata masam manis, masak sos? Aku pun tak tahu.

Kadang-kadang kecewa juga dengan diri sendiri, maklumlah sotong bukannya murah. Apabila masak, tak sedap pula. Rasa sayang dan rugi. 

Tapi menu-menu yang anak dan suami puji tu membuatkan aku rasa seronok nak memasak. Aku ni banyak buat eksperimen masa masak. Masukkan rempah itu ini, kena rasanya memang menjadi. Tak kena, kau hadaplah kena habiskan juga sebab dah masakkan. Cuma jadi peringatanlah kalau nak masak lagi selepas itu.

Lagi, kurma yang aku masukkan kacang panggang. Kahkah. Buat pekat kuah dan bagi rasa lemak, kononnya. Aku rasa tak sedap sangat tapi suami kata okey. Tak tahulah kalau dia lapar sangat. 

Antara yang anak suka, tomyam. Aku guna kiub dan pes perencah tomyam segera saja. Agaknya rasa masam-masin-pedas menambat selera anak. 

Sambal, kadang menjadi kadang tidak. Kalau sedap tu, memang bertambahlah suami makan. Kalau tidak, akulah yang menghabiskan.

Antara lain kegemaran keluarga, jenis bersup. Sup ayam, sup daging, sup tulang, sup sayur, bihun sup. 

Nak masak sup pun, aku suka versatile-kan. Ada hari buat sup berempah, guna rempah sup. Ada hari buat sup tumis darat. Ada hari buat sup guna bunjut. Ada harinya tumis rempah empat sekawan. Ikut kesukaan.

Hangit? Pun pernah juga. Paling terbaru, ikan bawal yang kononnya nak digoreng garing jadi hangit pulak. Memang tahu dah kesudahannya, akulah yang kena makan.

Biasalah memasak hari-hari ni ada naik turun, pasang surutnya. Namun, yang penting niat memasak untuk keluarga, ye tak? Tapi yang lebih penting, bila masak tu kena niat supaya menjadilah aku masak hari ini, minta-minta sedaplah semuanya!


No comments:

Post a Comment