Monday, May 21, 2018

B2E6: Mi Kuah Daging di Pagi Raya

Mi kuah daging di pagi raya.

Tahu dah memang akan dihidangkan menu ini jika berkunjung ke rumah emak saudara sepupu saya sebelah emak.

Bapa saudara sepupu ni tauke kilang mi. Jadi menu mi tu biasalah. Dan saya dengan adik-beradik memang tertunggu dah menu ni setiap kali berziarah raya ke rumah mereka.

Mi kuah daging memang paling ngam. Mi kuning yang sudah tentu halal dan bersih, segar dari kilang. Mi yang diganding dengan kuah daging memang terbaik. Antara menu mi yang saya suka macam inilah. Sedap sangat.

Kuah yang mengandungi daging tetel, dituang ke atas mi kuning yang telah dicelur. Kemudian ditabur dengan hirisan daun bawang dan daun sup serta bawang goreng.

Ya ampun kecur air liur teringatkan mi kuah daging Mak Ngah Zizah.

B2E5: Kuah Kacang Aidil Fitri Wajib Makan

Kami ada seorang mak saudara yang sangat sporting dan popular dalam kalangan keluarga besar ayah.

Mak saudara yang kami gelar Mak Andak Wan Jah ialah isteri kepada Pak Andak Halim atau nama sebenarnya Hamid. Mak Andak ialah kakak ipar ayah.

Setiap kali raya, kebanyakan anak saudara yang berkunjung ke rumah Mak Andak mesti tak lepaskan peluang nak merasa kuah kacang yang sedap tu.

Hidangan yang ditunggu setiap tahun di rumah Mak Andak, nasi himpit yang dimakan bersama kuah kacang dan serondeng daging.

Kuah kacang Mak Andak akan sentiasa dirindui.

Satu lagi hidangan kegemaran anak-anak saudaranya, biskut Mazola atau biskut kacang. Kacang dikisar halus, digentel bulat dan dileperkan sedikit lalu disapu kuning telur di atasnya. Memang sedap!

Kalau Mak Andak kata tak buat untuk raya, memang kecewa habislah kami. Biasanya di akhirnya Mak Andak akan buat juga walaupun sedikit untuk dijamu kepada kami.

B2E4: Gulai Ayam Periuk Tekanan

Arwah Mak ada satu periuk tekanan  yang dimasak di atas dapur gas. Periuk manual, dan bukannya elektrik seperti yang popular pada zaman sekarang yang namanya Noxxa itu.

Periuk tekanan mak ini, memang sejak dulu saya kagumi. Masakan tidak, mahu masak apa jua boleh. Sedap pula.

Biasanya digunakan untuk merebus daging atau tulang. Daging lebih mudah empuk dan lembut berbanding direbus secara biasa. Menggunakan periuk tekanan juga menyingkatkan tempoh memasak.

Ingat lagi dulu-dulu, paling ditunggu saat periuk berbunyi dan asap berkepul keluar dari cerobongnya. Penutup cerobong perlu dibuka sedikit untuk melepaskan udara. Waktu inilah paling kritikal kerana tersalah gaya wap panas boleh terkena muka atau penutup terpelanting. Disebabkan periuk ini manual, kena alert sikit bila periuk berbunyi, kena cepat-cepat buka penutup.

Satu hidangan yang paling saya ingat yang dimasak menggunakan periuk ini ialah kari ayam yang dimasak oleh ayah.

Ayah 'humbankan' semua bahan ke dalam periuk, tutup dan tunggu hingga siap.

Ayam, rempah kari, rempah ratus, air, kentang, halia, bawang semua dimasukkan terus tanpa tumis-tumis seperti biasa.

Kagum saya waktu itu melihat cara ayah masak. Sedap pula tu!

Kini tidak dapat dipastikan periuk tekanan tu di mana setelah kami berpindah. Yang pasti periuk tersebut banyak berjasa.

B2E3: Bistik, Menu Lepas Kahwin Baru Tahu

Suatu hari suami kata teringin nak makan bistik. Aku memang tak tahu langsung rupa menu ini apatah lagi rasanya. Ejaan bistik itupun entah betul entahkan tidak.

Katanya mak biasa buat dulu, resipinya guna daging burger. Dalam fikiran aku, tak boleh nak membayangkan langsung menu ini. Buntu terus.

Sampailah satu ketika mak masak bistik ni di rumah.

Rupanya daging burger, tak kisahlah perasa ayam atau daging, kambing sekalipun boleh kalau suka, digoreng dahulu kemudian dipotong empat atau enam bahagian. Ketepikan.

Goreng wedges kentang. Juga diketepikan.

Panaskan minyak, tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi. Masukkan daging burger yang dipotong tadi, gaul mesra dengan bawang. Kemudian, masukkan kacang pis dalam tin bersekali dengan airnya.

Kalau gunakan empat ke enam keping burger, boleh guna setin kecil kacang pis. Kacau juga semuanya hingga mesra kemudian perasakan dengan garam dan lada sulah.

Masukkan air sikit untuk dijadikan kuah. Kemudian sedikit bancuhan tepung jagung untuk memekatkan kuah tadi. Akhir sekali baru masukkan kentang. Kacau perlahan sebab kita tak nak kentang hancur. Siap dihidang.

Senang saja kan?

Biasanya kalau dah jemu dengan ikan, ayam, daging, inilah salah satu menu pilihan. Bistik ini boleh dimakan dengan nasi atau dicicah bersama roti. Ratah begitu saja juga boleh.

Dengan dijadikan menu sebegini, ramai yang dapat merasa daging burger berbanding dibuat burger biasa yang mungkin sebungkus tidak mencukupi. Begitulah antara langkah berjimat orang dahulu. Sedikit sama dirasa.

Kini menu ini menjadi kegemaran keluarga kecil kami juga.

B2E2: Laksa Semasa Hari Lahir

Masa aku kecil dulu, meraikan hari lahir biasa sahaja. Jemput kawan-kawan datang rumah, mak jamu makan. Selalunya mak masak laksa.

Jadinya masa hari lahir tu, panggil kawan-kawan datang rumah, anak jiran-jiran keliling rumah. Ramai-ramai akan duduk di ruang tamu, bersusun duduk situ lepas tu makan laksa.

Seingat aku tak ada pula kek atau sambutan beriya-iya, hanya sekadar menjamu mereka semua makan.

Laksa, boleh dikata makanan kegemaran orang Utara. Memang patut aku kena pandai buat laksa ni. Tapi setakat  ni belum betul-betul menjadi lagi. Menu ini aku tak sempat nak belajar dengan mak, sama ada kena tanya mak-mak saudara atau pun cuba resipi majalah atau buku.

Pernah sebelum ini, ikut resipi laksa Rizalman. Sedap baq hang! Tapi cara dia macam banyak bahan dan renyah sikit.


B2E1: Sambal Bilis Arwah Mak

Masa zaman remaja dulu, kalau hujung minggu, memang liat sangatlah nak bangun awal pagi. Kalau boleh nak tidur saja bangun bila tengah hari. Tapi ada satu benda yang membuatkan aku 'terpaksa' bangun pagi.

Bilik tidur aku di tingkat atas. Tepi tangga dekat dengan dapur. Senang cerita, apa yang dimasak di dapur aku memang orang pertama yang akan sedut bau sedap tu.

Disebabkan itu, bila hari Sabtu atau Ahad pagi, emak masak nasi lemak, memang aku automatik akan bangun lebih cepat daripada biasa. Aroma sambal ikan bilis tu membangunkan aku.

Aku tak sempat belajar masak sambal ikan bilis emak, tapi bau sedap tu aku ingat sampai sekarang.

Sambal bilis basah atau berkuah sikit. Yang pasti tak ada belacan sebab ayah tak tahan dengan belacan, alergik. Aku pun sama. Jadi kebanyakan menu kami kat rumah, emak tak masukkan belacan.

Sambal ikan bilis, makan dengan nasi lemak panas, ikan bilis goreng, telur rebus, kacang goreng, hirisan timun segar. Nasi lemak biasa macam ini pun dah cukup membuka selera. Lagi-lagi yang emak masak, kita hanya tunggu masa nak ngap saja.

Menunya simple saja tapi berpanjangan ingatan aku pada emak asbab sambal tu. Walaupun tak banyak menu yang aku sempat belajar daripada mak tapi aku bersyukur aku boleh belajar daripada mak cik-mak cik dan saudara mara yang ada.

Aku harap anak aku pun akan ingat masakan aku juga sebagaimana aku ingat masakan mak sampai kini.

B1E10: Periuk Belanga dan Dapur Minimalis

Bagi mereka yang suka masak, sudah pasti minatnya pada pinggan-mangkuk, periuk belanga dan peralatan di dapur juga.

Aku sebelum ini, banyak juga peralatan dapur. Kadang-kadang dah buntu nak kemas dan susun dapur macam mana lagi. Mahu dibuang, sayang rasa mungkin akan diguna lagi. Tak dibuang atau disisih, penuh dapur padahal ada sesetengahnya jarang sangat guna atau tak guna langsung pun.

Mujur juga kami berpindah rumah tempoh hari, jadi banyak juga barang dapur yang aku buang, contohnya bekas plastik makanan. Aku hanya simpan bekas yang berjenama, yang lengkap dengan bekas dan penutup sahaja. Selebihnya aku buang. Jadi berkuranglah beban dan keserabutan.

Ikut hati, minat juga Corelle, Luminarc, Tefal, Le Creuset tapi buat masa ini, aku selesa dengan periuk belanga cap Buaya saja dulu. Selain praktikal, harga pun mampu milik. Yang penting, dapur berasap. 

Pinggan mangkuk, banyak yang masih tersimpan di stor yang kami tumpang di rumah abang ipar. Yang ada pada kami sekarang, memadailah untuk diguna sehari-hari. Ada tu pinggan dan cawan yang mak beri semasa pindah dulu. Cukuplah dengan itu sahaja. Kalau ada tetamu ramai di rumah, kami gunakan pinggan plastik atau kertas.

Barangan elektrik dapur pun, aku kekalkan mana yang perlu sahaja. Kini hanya ada pengisar, oven toaster, pemanas air elektrik. Berbanding dahulu ada periuk nasi, cerek dan microwave oven. 

Aku cuba untuk wujudkan dapur yang ringkas dan minimalis sahaja. Aku nak masak dengan tenang dan biar dapur lapang. Aku juga praktikkan untuk membeli bahan yang betul perlu sahaja dan jika tamat tempoh, aku terus buang. Bahan yang ada, digunakan sehingga habis selagi mampu.

Kuali, aku kekalkan hanya satu. Periuk ada 2 yang sederhana dan 1 yang besar. Tak perlu banyak-banyak. Aku pening nak susun.

Aku masih lagi ke arah dapur minimalis yang kemas dan ringkas. Insya-Allah, adakalanya yang ringkas itu lebih membahagiakan.