Monday, May 21, 2018
B1E10: Periuk Belanga dan Dapur Minimalis
B1E9: Kisah Nasi Goreng
Nasi goreng ni memang menu yang sebati dengan jiwa aku rasanya.
Sejak sekolah, nasi gorenglah yang aku selalu masak. Masa bujang, pun selalu juga. Lepas kahwin, dah kurang sikit. Dah ada anak, kembali rancak menggoreng nasi bila ada nasi lebih semalamnya.
Bab nasi goreng ni, tak dinafikan setiap mak ada signature nasi gorengnya. Jadi tak boleh nak kata nasi goreng kena begitu begini, nasi goreng ni boleh dipelbagaikan citarasanya. Tak ada yang salah.
Nasi goreng arwah emak aku, lain. Versi mak mentua pun lain. Versi aku untuk anak-anak, lagilah lain. Namun yang pasti, nasi gorenglah menu yang aku paling suka sebab boleh masukkan nasi, protein dan sayur all in one. Cuma kena hati-hati dengan minyak tu jelah.
Terus terang, masa berpantang pun aku makan saja nasi goreng. Dan paling suka sebab ekspres. Selalu buat nasi goreng ikan bilis. Masukkan bawang putih lebih, taburkan lada hitam. Masukkan sawi. Nikmat sungguh makan panas-panas.
Nasi goreng versi arwah emak, putih sahaja. Bahan pun tak banyak tapi sedapnya ya Tuhan. Bertambah-tambah nasi. Mujur aku sempat belajar resipi nasi goreng sedap emak. Sekarang kalau rindu, bila-bila masa boleh buat.
Nasi goreng mak mentua pula, tumis sambal belacan. Peh terangkat makan panas-panas masa sarapan.
Pernah tengok resipi nasi goreng emak Chef Wan. Tumis cili, ikan bilis tumbuk, masukkan kangkung. Lebih kurang sama dengan emaknya Chef Khairul Hakimin. Nasi goreng kampung lebih kurang begitu.
Kini suami aku paling suka nasi goreng USA. Entah di mana 'USA'nya aku pun tak pasti. Yang pasti, kalau dia beli, aku memang tumpang makan sekaki. Nasi goreng kosong, daging masak merah dan telur mata. Memang lagi sedap bila berkongsi kan.
Hoi nasi goreng, hoi sungguh sedap...
B1E8: Sumber Resipi
Aku suka mencuba resipi daripada pelbagai sumber. Tak semestinya dari internet saja atau resipi yang tular.
Aku suka cuba resipi daripada buku masakan dan majalah. Kalau dulu, mungkin resipi dalam bahan bercetak ni ada yang kurang sedap, tak menjadi atau salah bagi sukatan tapi sekarang aku rasa majalah masakan antara sumber rujukan terpenting bagi aku.
Buku masakan, rujukan paling utama. Dalam koleksi aku, yang paling disayangi buku 365 Resipi, 1 Hari 1 Resipi oleh Chef Hanieliza. Buku ni terbitan PTS dan kemudiannya dijual secara eksklusif oleh Popular Bookstore. Aku beli pun masa tu ada diskaun. Memang terbaiklah. Buku rujukan pertama untuk masakan seharian tatkala tak tahu nak masak apa.
Buku kedua terpenting di rumah, 400 Resipi Terbaik Chef Wan. Terbitan Seashore. Selalunya rujuk bila nak masak untuk jamu orang atau yang istimewa sikit. Resipi tradisional Chef Wan memang sedap dan menjadi belaka. Dia banyak guna rempah ratus dan bahan-bahan dia banyak juga. Tak sesuai kalau nak cepat dan tak cukup bahan kat dapur! Buku ni suami belikan rasanya. Dah lama dah.
Lagi sumber resipi aku, buku-buku masak oleh Chef Fendi, Khairul Hakimin, Suwarsi Arukin dan lain-lain. Kalau tak aku beli, suami yang beli.
Majalah masakan memang banyak. Suami suka beli majalah Rasa. Kadang-kadang Saji, Sedap. Dulu-dulu aku suka majalah Mingguan Wanita sebab ada sisipan resipi. Kumpul dulu tu.
Pernah sekali masa belajar kat UPM, masa di perpustakaan aku bukan setakat pinjam buku akademik, aku siap pinjam buku resipi. Lepas tu aku fotostat resipi yang aku suka, aku simpan. Resipi Itali kebanyakannya.
Dulu-dulu juga masa bujang, aku suka salin resipi ke dalam buku log kecil. Kompilasi resipi yang aku salin daripada majalah orang, buku orang, resipi internet. Asalnya aku tumpang bermalam di rumah sepupu. Ada satu majalah tu, ada himpunan resipi pelbagai jenis laksa. Waktu tu, belum ada telefon nak ambil gambar. Jadi aku salinlah satu-satu resipi laksa tu. Ada laksa Johor, laksa Sarawak, laksam, laksa lemak, laksa Kedah, asam laksa. Sejak itulah, buku log tu berkembang dengan tambahan resipi-resipi lain.
Aku cari resipi di Google juga kalau aku dah memang teringin suatu menu tapi tak tahu cara buat. Lagi cepat dah tentunya. Biasanya akan jumpa di blog-blog masakan. Mat Gebu ke, Azlita Masam Manis, Citarasawan, Azie Kitchen dan macam-macam lagi.
Sekarang ni, cari kat Facebook dan Instagram pun banyak dah. Resipi banyak yang sedap, ringkas dan pantas. Kreatif pula tu. Kadang-kadang aku tergoda juga dengan video tutorial masak. H
Namun antara banyak-banyak tu, sumber paling agung daripada kalangan ahli keluargalah. Mak abah mentua, mak cik, pak cik, adik-beradik lain. Sumber langsung terbaik, mak abah mentua untuk resipi Jawa dan tradisi.
Dengan pelbagai sumber inilah, yang mana resipi yang menjadi aku suka kongsi di blog masak aku. Bila-bila aku nak ulang, aku boleh rujuk dengan mudah. Orang lain nak cuba pun boleh. Kadang-kadang tu aku kumpulkan supaya resipi tu tak lenyap ditelan zaman, terbang di angin lalu saja.
B1E7: Masak-masak Bila Ada Anak Mula Makan
Apabila anak sudah mula makan makanan pejal, waktu berusia enam bulan, sekali lagi teruja. Tapi semasa anak pertama, aku agak keliru akibat too much information dan aku tak tahu nak ikut yang mana satu.
Baca di sini, begini. Baca di sana, lain pula. Lama-kelamaan, dalam pada aku nak siapkan makanan untuk anak, entah apa-apa yang aku bagi. Kasihan juga, itulah akibat ibu yang terlalu banyak maklumat sampai tak tahu yang mana satu yang betul dan patut diikut, padahal jururawat di Klinik Kesihatan sudah berikan panduan.
Aku dalam dilema. Ada saranan perlu perkenalkan anak dengan puri sayur dan buah dahulu. Ada pula yang sarankan bubur nasi kosong. Kebanyakan orang, bagi nestum.
Itu tak termasuk lagi berapa banyak makanan yang aku tak bagi langsung, memang kawal habis. Kuantiti garam, gula, perasa. Jajan semua memang tak bagi. Bila anak kedua dan ketiga aku tak strict sangat cuma aku kawal supaya tak berlebihan. Yang penting mereka mahu makan.
Memasak untuk anak, seronok bila anak makan berselera dan cakap sedap. Fuaad dulu bukan jenis pemakan sangat, banyak memilih juga. Faheem, Faathiya alhamdulillah tak banyak sangat kerenah pasal makanan. Makan tetap makan, sikit atau banyak sahaja.
Aku sebenarnya bercita-cita nak buat ebook Panduan Pemakanan Anak, nak kumpulkan perjalanan dan pengalaman aku dalam menjaga pemakanan mereka ni. Dah siap rangka dan draf awal. Tapi bila baca balik sekarang, banyak juga nak kena ubah supaya tak kaku sangat dan jadi bahasa buku teks.
Pengalaman dan cara setiap ibu menjaga pemakanan anaknya berbeza. Bagi aku, ikutlah kemampuan dan kreativiti masing-masing. Cuma elakkanlah terlalu banyak jajan diberi dan cuba galakkan anak makan sayur buah.
Aku pun sebenarnya struggle juga nak suruh anak-anak biasakan diri dengan buah sayur ni, tapi aku tetap kena terapkan dalam minda mereka yang benda ini bagus untuk kesihatan. Paling penting, aku yang makan. Biar mereka tengok dan anggap benda ni normal dan kena buat. Jajan aku beri juga tapi dengan kuantiti minimum sahaja.
B1E6: Masak pada 6 Bulan Pertama Kahwin
Tambahan pula suami aku ni seorang yang suka memasak dan pandai memasak pula, memang berganda keterujaan aku nak berkongsi 'kepakaran' dan kemahiran memasak.
Sebelum kahwin pun memang aku sudah ada koleksi resipi dan buku masakan, selepas kahwin, suami menyokong juga dengan membeli majalah masakan. Memang seronok mencuba resipi baharu, bertambah seronok nak memenuhi selera suami.
Pernah kami memborong sakan di BookXCess, Amcorp Mall, Petaling Jaya - membeli buku-buku masak. Resipi Itali, resipi sihat, citarasa Asia, menu antarabangsa dan lain-lain lagi. Memang penuh juga koleksi rujukan masakan di rumah kami. Maklumlah sama-sama minat masak.
Di bulan-bulan awal perkahwinan, memang aku rajin masak. Masak dalam kuantiti yang banyak pula tu. Apa lagi, kami berdua memang bagai dipam-pam badan ni. Berat aku naik mendadak, berat suami pun sama.
Sebabnya, kami selalu makan malam lewat dan bertambah-tambah pula. Waktu itu, suami sering balik kerja lambat, dan aku sebagai isteri mithali memang akan menunggunya pulang untuk makan malam sama-sama. Dan selepas sejam, masuk tidur.
Baru-baru kahwin, begitulah. Sedap sungguh rasanya walaupun pada hakikatnya taklah sesedap mana.
Pernah sekali aku masak nasi ayam. Ayam sampai 5-6 ketul besar, makan sampai 2-3 kali tambah. Waktu tu dah 10 malam. Aduhai. Waktu tu, makan tanpa rasa bersalah langsung, janji puas hati dapat masak untuk suami, dapat tunjuk skil, makan tanpa had janji kenyang.
Lagi pula, bila aku masak memang terlebih-lebih padahal yang makan hanya berdua, tetapi aku siapkan makan seolah-olah untuk 4-5 orang. Tak dihabiskan, sayang. Maka membesarlah perut kami berdua bagai johan.
Empat bulan selepas berkahwin, saya mengandung. Semasa buat pemeriksaan kesihatan, saya didiagnos darah tinggi dan kencing manis. Sedih juga, tetapi selepas buat sedikit pembacaan dan kajian, rupanya faktor berat badan naik mendadak sebelum mengandung antara faktor penyebab. Aku memang berisi waktu mengandung anak pertama.
Itulah, beria sangat melayan selera. Merana jugalah badan. Pengajaran buat aku supaya kawal sikit keterujaan memasak berlebihan, dan patutnya contohi PM ketujuh kita, jangan terlebih makan, memang mengundang penyakit.
B1E5: Menu Zaman Bujang
Aku masak menu mudah dan ringkas sahaja, guna pun bahan-bahan yang mudah dan murah. Tak adanya menu beria-ria.
Seingat aku masa bulan puasa tahun tersebut, aku sangat menjaga pemakanan sebab aku dalam proses menguruskan badan. Aku kurus dengan mengawal kalori yang aku ambil setiap hari. Jadi, menu aku waktu itu berkuantiti kecil dan kebanyakannya sup.
Waktu itulah aku belajar daripada kakak serumah yang untuk sedapkan sup sayur, masukkan rempah empat sekawan. Selama ni aku tahu masukkan rempah itu apabila masak sup ayam dan daging. Apabila dah cuba masukkan dalam sup sayur atau sup kosong, rasanya lebih sedap dan beraroma.
Paling biasa aku buat sup tauhu, sup fucuk (tauhu kering), sup sayur macam-macam. Kuantiti nasi memang aku kawal.
Kalau hujung minggu kami satu rumah tak ke mana-mana, masak saja di rumah. Menu yang biasa Kak Midi, kakak bilik sebelah masak, sambal sardin, telur dadar dan kubis goreng kunyit. Kak Sali, kakak serumah yang seorang lagi kadang-kadang masak lauk hebat sikit. Aku kategorikan sebagai hebat sebab menu tu aku tak pandai. Adalah sesekali menu daging ke ikan singgang, menu Kelantan.
Pernah sekali Kak Midi masakkan dendeng daging. Memang seronoklah dapat makan.
Lorong rumah sewa kami aktif buat jamuan potluck. Jadi kami pun sediakan sikit apa-apa juadah. Aku pernah buat roti jala, Kak Midi buatkan kari ayam. Lenguh pinggang aku 'menjala'. Tapi puas hati dapat siapkan juadah untuk sama-sama nikmati dengan jiran.
Rumah sewa bujang aku yang terakhir itu sahaja yang aku rajin dan selalu masak. Selain dapur yang selesa, satu lagi faktor kakak serumah semua memahami. Bahan-bahan masak sama dikongsi. Berbanding rumah-rumah sebelum itu, masalah dapur kurang selesa, peralatan pun tak cukup, rakan serumah yang ambil kesempatan. Jadilah aku bujang yang beli makanan luar saja.
Ingat lagi, kalau beli ayam, biasa beli setengah ekor saja. Sayur suka beli macam-macam jenis. Bendi, sawi, kangkung, bayam antaranya. Tempe dan tauhu memang selalu buat sumber protein gantikan protein haiwan yang sedikit mahal. Telur pun antara menu wajib. Perasa yang saya paling gemar, lada sulah. Masak apa pun mesti dimasukkan sedikit, rasa lebih sedap.
Rindu juga zaman bujang yang makan ringkas sahaja, maklumlah hanya perlu fikir kehendak perut dan selera sendiri sahaja. Namun memadai untuk melangkah ke alam perkahwinan, apabila asas dan kebiasaan memasak sudah ada, alhamdulillah.
B1E4: Sedap dan Hangit
Hangit? Pun pernah juga. Paling terbaru, ikan bawal yang kononnya nak digoreng garing jadi hangit pulak. Memang tahu dah kesudahannya, akulah yang kena makan.
Biasalah memasak hari-hari ni ada naik turun, pasang surutnya. Namun, yang penting niat memasak untuk keluarga, ye tak? Tapi yang lebih penting, bila masak tu kena niat supaya menjadilah aku masak hari ini, minta-minta sedaplah semuanya!
Saturday, May 19, 2018
B1E3: Tempahan Nasi Arab
Pernah sekali, suami dapat tempahan daripada pejabatnya untuk masak nasi arab.
Perlu sediakan untuk 50 orang, dan tukang masaknya hanyalah kami berdua suami isteri.
Susah kah?
Tidak juga sebab kami guna pek nasi arab segera, yang sudah terbukti keenakan dan kelazatannya. Lagipun memang dah biasa masak di rumah, jadi dah familiar dengan bahan dan cara masaknya.
Aku dulu memang menjual pek nasi arab segera ni. Jadi waktu tu, berkotak-kotak juga kami gunakan. Mujur ada stok.
Pinjam periuk nasi elektrik besar dengan periuk belanga daripada abah dan emak. Memang abah emak biasa masak untuk ramai orang. Jadi suami pinjam dan bawa balik ke rumah.
Pengalaman pertama kami masak untuk sejumlah orang yang besar. Mujur suami dah biasa dengan masak banyak begini. Aktiviti masak memasak di pejabatnya selalu pun dia ketua tukang masaknya. Cuma bezanya kali ini, kami masak bersama.
Kami agak teruja menyiapkan tempahan. Sebenarnya, untuk jangka masa panjang, kami menyimpan hasrat menyediakan perkhidmatan katering. Jadi kami ambil peluang ini untuk kutip pengalaman dan belajar.
Aktiviti memasak dimulakan dengan memasak nasinya dahulu. Berdebar juga ni mahu masak dalam periuk besar sebab tak biasa. Mujurlah periuk nasinya jenis elektrik. Boleh tekan suis dan biar nasi masak saja. Cuma untuk nasi arab ni, perlu tumis bahan-bahan rempah kering dahulu. Kemudian dimasukkan pes perencah. Oh, beras basmati yang tersedia dalam kotak kami rendam dan tos dahulu sebelum masak supaya nasi nanti jadi lebih lembut.
Nasi arab ini digandingkan dengan ayam panggang. Waktu itu oven pun kami tiada. Pinjam emak punya. Entah berapa pusingan memanggang ayam. Seawal memasak nasi, ayam juga turut dipanggang untuk elak tak cukup masa.
Penyediaan salad arab (salatah) dan sosnya telah disiapkan lebih awal lagi dan disimpan di dalam peti sejuk.
Alhamdulillah semua proses masak berjalan lancar dan siap tepat pada waktunya. Suami kata rakan-rakan sepejabatnya komen sedap. Seronok, hilang penat memasak.
Selepas itu kami tak ada dah masak besar begitu. Namun harapan untuk mula bisnes katering tetap ada. Insya-Allah suatu masa nanti.
B1E2: Perencah Nasi Goreng Adabi Dalam Ingatan
Aku kehilangan mak semasa berumur 12 tahun. Jadi sejak itu, aku perlu memasak sendiri kalau nak makan apa-apa di rumah. Tapi aku masak yang mudah saja. Selalu ayah akan masak atau beli saja di luar.
Daripada Tingkatan 1 ke Tingkatan 2, aku bersekolah sesi petang. Jadi, sebelum ke sekolah, atau sebagai sarapan, aku biasa buat nasi goreng saja sebab senang.
Pes perencah nasi goreng Adabi memang sentiasa ada stok di rumah. Bahan-bahan basah seperti sayur kadang-kadang aku singgah beli di kedai runcit Paksu Musa.
Nasi goreng versi aku yang berusia 13 tahun ketika itu, nasi sejuk aku gembur-gemburkan. Panaskan minyak dan tumiskan pes perencah. Banyak kali juga pes hangit, sebab aku guna api besar. Ada ketika aku tak perasan yang lama sangat aku tumis sedangkan pes itu hanya perlu ditumis sekejap saja.
Kemudian aku masukkan batang sawi dan goreng sebentar. Kemudian masukkan nasi sejuk dan gaul rata dengan perencah. Lepas tu baru dimasukkan daun sawi.
Aku buat lubang di tengah kuali, masukkan minyak sedikit dan pecahkan telur ke dalam lubang tadi lalu dikacau-kacau.
Bila telur agak masak dan mengental, aku gaulkan dengan nasi hingga rata ke seluruhannya.
Siap nasi goreng versi Junior Masterchef. Hampir setiap hari juga aku makan menu yang sama. Sebab menu itu yang aku yakin buat, dan yang itu aku suka makan.
Kini, pelbagai jenis nasi goreng aku buat. Dan nasi goreng kekal menjadi antara menu kegemaran aku. Cuma dah lama tak guna pes perencah Adabi.
Aku senang tumis bawang putih dan bawang merah dengan Planta, pecahkan telur dan masukkan nasi sejuk. Kalau rajin, tambah ikan bilis goreng rangup. Kalau di rumah mak mentua, tumis sambal belacan atau masukkan serbuk udang kering.
Begitulah. Nasi goreng, daripada dulu hingga sekarang tetap jadi pujaan.
B1E1: Masak di Rumah Bakal Mentua, Biar Betul?
"Ha? Nak masak apa?"
"Apa-apa je. Kejap lagi kita singgah Mydin beli barang."
Bakal suami ketika itu berkata. Di mulut aku mengiyakan. Dalam hati, sungguh-sungguh aku berharap ini adalah prank.
Aku takkan terpedaya. Mesti dia saja nak buat aku saspen. Memang singgah beli barang. Tapi dah sampai rumah emaknya nanti, dah tentulah emaknya yang masak.
Takkan tak semena-mena tetamu yang kena masak?
Ish. Mustahil ni. Tak mungkin dia nak aniaya aku sampai macam ni sekali.
Aku bukannya pandai masak sangat. Lagi-lagi nak jamu ramai orang. Katanya di rumah ada mak, dan semua adik-adik. Aku ni kalau masak untuk aku makan sendiri bolehlah. Dalam hati aku dok bisik, wahai tuan tunangku (ketika itu), sila jangan buat lawak!
Sepanjang perjalanan aku tak kisah lah sangat perihal kena masak kat rumah mak tu, sampai dah siap beli barang pun, aku memang positif je yang dia bergurau.
Kami beli ayam, buncis, udang. Cadangan menunya ayam masak kicap, buncis goreng dan sambal udang.
Sesampainya di rumah mak. Duduk kejap borak-borak lepas tu dengan yakinnya tuan tunang kata, "Hari ni biar Zaila masak."
Nak tercabut jantung aku masa tu. Serius?
Ini memang mengundang perang, aku dok bercakap dalam hati. Memang ini saja nak memalukan aku ke macamana.
Dalam hati, geram sesungguh-sungguhnya. Tapi dalam masa yang sama salahkan diri sendiri juga sebab buat-buat tak percaya sedangkan dia dah beritahu dalam kereta tadi. Memang kena balik ke batang hidung akulah kalau aku salahkan dia. Kau tengok bijak tak bijak bakal suami aku tu.
Maknya kata, susah-susah je datang sini tiba-tiba kena masak pula. Oh takpe makcik, boleh je, aku balas. Dalam hati, punya geram rasa nak tumbuk saja perut anak bertuah mak mentua tu. Huh!
Aku masuk dapur. Masa tu keluarga mentua tinggal di kuarters kerajaan, abah mentua berkhidmat sebagai pegawai bomba. Aku mula perhati bahan-bahan yang dibeli tadi, satu per satu.
Betapa kekok nak memasak di dapur asing. Lagi kau nak masak untuk mak mentua kau! Eh gila aku macam ni lah. Aduhai.
Rancangnya ayam masak kicap, entah apa yang aku buat, entahlah. Tumis bawang-masuk air-masuk kicap-masuk sos tiram-entah apa lagi buat aku dah tak boleh fikir dengan lurus dan waras lagi dah. Lepas tu masukkan ayam. Dah macam ayam kuah hitam rupanya. Ah, bolehlah ni kot.
Sayur buncis aku hiris serong-serong. Lobak merah aku potong panjang tapi tak cantik sungguh bentuknya sampai masa makan mak tegur, dia sangkakan adik yang tolong potong hodoh begitu. Padahal aku yang buat semua tanpa minta bantuan sesiapa. Segan. Sebetulnya, pisau yang aku guna tu kurang tajam. Itu yang senget benget rupa lobak merah tu. Dan betapa bendul dan paniknya aku tak reti nak asah pisau atau tukar pisau lain. Kahkahkah
Hidangan seterusnya sambal udang. Ini pun nak kata okey, tidak juga. Terlebih air asam jawa. Dan mak tak makan udang. Jadi komen datang daripada anak lelaki bertuah mak itulah. Masam sikit, komennya.
Begitulah pengalaman paling lawak, paling diingati, dalam masa yang sama ada manisnya juga.
Memang geram juga dibuatnya tapi keyakinan tuan tunang waktu itu boleh tahan juga. Yakin benar bakal isteri pandai masak ya. Sekali terimalah! Hahaha
Perkara itu pun dah berlalu hampir 8 tahun dulu. Zaman bertunang. Waktu itu menziarah keluarga bakal mentua dan berbincang hal majlis. Tapi rupanya ada kejutan pula.
Apapun, terima kasih wahai suamiku, disebabkan peristiwa itu aku belajar masak ayam masak kicap dan sambal udang dengan betul. Haha.